– 2 September 2017 –

Hari ini merupakan hari ke-2 kami di Sapporo. Mengikut perancangan, saya akan ke Cape Kamui dan juga Otaru Canal. Jarak Cape Kamui dari Sapporo adalah sejauh 105 KM dan Cape Kamui ke Otaru Canal pula hanya 70 KM sahaja. Oleh kerana jarak antara dua lokasi ini yang tidak berapa jauh, jadi eloklah lawati tempat ini pada hari yang sama. Pada awalnya, saya menjangkakan perjalanan saya ke Cape Kamui akan mengambil masa yang singkat, tetapi kawasan yang berbukit serta had laju kenderaan 80 KM/h melambatkan perjalanan saya.

Jarak perjalanan dari Sapporo ke Cape Kamui

Sebaik sampai disini, timbul perasaan hairan dalam diri saya. Pemandangan di sini amat berbeza dengan gambar yang saya lihat di internet. Apa yang saya nampak di sini hanya ada sebuah lorong dan pemandangan pantai dari atas bukit. Aduhh, nampaknya GPS dah salah bawa tempat ,rupanya tempat yang saya sampai ini adalah Shimamui Coast.

Pemandangan Shimamui Coast tidak mengecewakan tapi saya agak terkilan kerana tak dapat melihat Cape Kamui dengan mata sendiri. Untuk pengetahuan, Shimamui Coast telah dinobatkan antara 100 Pantai Terbaik di Jepun. Pantai yang bersih, angin yang nyaman, air laut kebiruan dan juga dikelilingi oleh susunan batuan yang unik mungkin menjadi faktor utama ia disenaraikan sebgai 100 Pantai Terbaik di Jepun. Saya memutuskan untuk berehat di sini sebelum bergerak ke Otaru Canal. Jadi hasrat untuk melihat Cape Kamui terpaksa dibatalkan kerana kesuntukan masa. Saya menuruni lereng bukit untuk melihat Pantai Shimamui dengan lebih dekat dan berehat. Serba salah jadinya, sebab isteri tengah sarat mengandung pun ikut turun sama.

shimamui-coast
shimamui-coast2

Selesai berehat, kami bergerak ke Otaru Canal. Otaru Canal ataupun Terusan Otaru digunakan sebagai tempat penghantaran barang dari kapal besar ke bot-bot kecil untuk disimpan di dalam gudang disitu. Tidak banyak tempat yang saya singgah disini, hanya sekadar jalan-jalan saja. Jika malas nak berjalan, boleh gunakan servis bot kecil yang disediakan untuk menyusuri terusan ini sambil melihat gudang ataupun bangunan yang nampak “old school”.