Jalan ke Mt.Cook

9 SEPTEMBER 2018

Hari ini kami ke Hooker Valley, Mt.Cook untuk meneroka tempat yang sering disebut-sebut oleh rakan-rakan pengembara, blog-blog dan media sosial. Bak kata orang, tidak sah kalau anda tidak singgah ke sini untuk menikmati pemandangan Hooker Valley dan sekitar Mt.Cook ini.

Kambing-kambing disepanjang jalan.

Mungkin ada pembaca yang tidak tahu bahawa Mt.Cook merupakan  gunung tertinggi di New Zealand dan ia terletak di South Island. Kami mula bergerak dari tempat penginapan kami di Glentanner Holiday Park dan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke kawasan parkir Hooker Valley. 

Gunung-gunung yang dapat dilihat sekitar kawasan Hooker Valley.

Terdapat penginapan yang lebih dekat dengan Hooker Valley seperti YHA Aoraki Mt.Cook Backpacker Accommodation dan Mt.Cook lodge motel. Tetapi kedua penginapan ini ada yang berkonsepkan asrama dan tidak bersesuaian dengan bajet yang saya ada. Bagi yang memandu campervan boleh cuba untuk tinggal di tapak perkhemahan DOC White Horse Hill (https://www.doc.govt.nz/parks-and-recreation/places-to-go/canterbury/places/aoraki-mount-cook-national-park/things-to-do/white-horse-hill-campground/) dengan bayaran yang lebih murah. Tetapi tapak ini berkonsepkan “first come, first served” serta tiada bekalan elektrik disediakan untuk campervan anda. Oleh kerana terlalu dekat dengan kawasan gunung, saya risau keadaan yang terlalu sejuk memberi kesan pada anak saya yang berumur 8 bulan. Sebab itu, saya memilih untuk tinggal di Glentanner Holiday Park walaupun agak jauh sedikit.

Terdapat 3 jambatan gantung yang bakal dilalui sebelum sampai ke hujung trek
Antara pemandangan yang dapat dilihat

Sebelum memulakan perjalanan ke Hooker Valley, saya sarankan anda melunaskan apa yang patut di tandas yang terletak di kawasan parkir. Saya dapati hanya ada satu tandas sahaja sepanjang trek Hooker valley. Saya menghabiskan masa lebih kurang 3-4 Jam di trek yang panjangnya 10 KM (ulangalik) ini. Anda akan menjumpai 3 jambatan gantung, sungai dan tasik glasier di penghujung trek ini. Trek ini tidak terlalu menguji tahap stamina saya serta isteri kerana treknya tidak begitu curam, hanya ada beberapa tempat yang berbukit sedikit. Malah ketika waktu ini, saya ada terserempak dengan beberapa warga tua dari Malaysia serta luar negara yang melalui trek ini.

Pemandangan gunung yang menakjubkan
Air sungai yang jernih
Isteri minta tangkap gambar cantik-cantik. 😀

Tapi apa yang lebih mengujakan saya apabila melihat pemandangan sepanjang trek Hooker Valley ini teramat amat cantik dan mempersonakan. Jadi benar sekali apa yang digembar-gemburkan, lembah ini wajib dilawati jika anda berkunjung ke New Zealand. Saya juga bersyukur kerana cuaca amat baik sewaktu saya di sini dan langsung tiada kabus yang menghalang penglihatan. 

Pemandangan di Hooker Valley
Untung anak kena pikul pergi balik.
Tasik Glasier, Hooker Valley.
Tiada lagi ketulan-ketulan ais yang tinggal.

Kemudian, kami singgah sebentar di Mount Cook Alpine Salmon. Saya berhenti seketika disini kerana terdapat tempat berehat yang menampakkan pemandangan tasik Pukaki serta kecantikan Mt.Cook. Bagi penggemar aiskrim, boleh cuba aiskrim Berry yang dijual disitu sambil menikmati pemandangan yang indah. Selesai berehat dan makan, kami bergerak ke Tekapo dan bermalam di sana. 

Aiskrim Berry yang sedap (kalau saya tidak silap ni perasa berry)
Pelawat berehat sambil menikmati pemandangan Mt.Cook
Empangan hidro terletak berdekatan Mount Cook Alpine Salmon
Pemandangan Lake Pukaki dan Mt.Cook
🙂

-razinruslan-

Advertisements