Hadapan motel kami di Wanaka Kiwi Holiday Park Di Wanaka Kiwi Holiday Park

– 5 September 2018 –

Hari yang dinantikan sudah tiba, hari ni saya akan mendaki Roy Peak di Wanaka. Sedang saya membuat persiapan, saya mendongak ke langit. Alhamdulillah, cuaca sangat baik untuk saya meneruskan pendakian hari ini. Si isteri pula sibuk menyediakan makanan dan barang kelengkapan si Rif Zayn. Selesai sarapan, saya terlebih dahulu menempah motel di Kiwi Holiday Park, Wanaka. Harga lebih kurang 165 NZD untuk satu malam. Sengaja saya tempah motel ini kerana inginkan keselesaan selepas penat mendaki Roy Peak nanti, maklumlah badan mesti terasa sangat penat.

Tempat letak kereta percuma disediakan

Antara kelebihan tinggal di Kiwi Holiday Park Wanaka adalah kerana tempat ini berdekatan dengan Roy Peak dan “The Lonely Wanaka Tree”. Jarak dengan bandar pun tidaklah terlalu jauh sekitar 5 minit sahaja. Setelah selesai segala persiapan, kami meneruskan perjalanan ke Roy Peak. Parkir kereta kebanyakannya masih kosong, mungkin kerana kami sampai awal.

Roy Peak Antara pemandangan semasa pendakian

Melihat permulaan trek Roy Peak ini, saya tersenyum teringatkan kata-kata dari warga Malaysia yang saya jumpa di holiday park semalam. Dia beritahu yang trek Roy Peak ni tiada belas kasihan kerana trek sentiasa curam hingga ke puncak. Nampak gayanya betullah apa yang diberitahu. Tambahan lagi, kali ini lebih mencabar kerana saya perlu memikul anak saya yang berumur 8 bulan.

Wanaka , New Zealand Wanaka, New Zealand

Berdasarkan pembacaan, masa pendakian ke puncak dan turun kembali ke kaki gunung mengambil masa selama 6 jam sahaja. Jadi saya positif yang saya dan isteri mampu melakukannya walaupun tidak membuat latihan yang secukupnya. Ini kali pertama saya mendaki dengan anak dan isteri. Saya anggarkan kami akan sampai ke puncak agak lewat kerana kami bergerak dengan kadar perlahan sahaja. Saya akan memikul anak saya dan isteri pula akan membawa tripod dan barang makanan.

Bawa anak naik gunung Rif Zayn yang sedang gembira

Pemandangan sepanjang pendakian sangat cantik dan menenangkan. Sejam pertama cukup seronok kerana si isteri masih bertenaga, tetapi selepas itu wajah kepenatan mula terpancar. Selang beberapa tapak, kami berehat dengan agak lama. Oleh kerana risau si isteri makin cepat letih, saya menggalas beg makanan dan tripod yang dibawanya. Kini beban yang saya tampung adalah anak, beg makanan dan tripod. Berat memang berat, tapi misi utama saya adalah untuk sampai ke puncak. Saya juga baru sedar baju sejuk yang tebal menyusahkan kami ditengah perjalanan. Pada awal pendakian memang sejuk, selepas itu badan mula berpeluh dan kami terpaksa membuka baju sejuk tersebut.

Roy Peak Wanaka New Zealand Penat!!!

Perjalanan diteruskan hingga sampai satu tahap dimana isteri saya berputus asa dan anak pula asyik menangis saja. Tiba-tiba si isteri berhenti dan menyuruh saya meneruskan pendakian tanpa mereka.  Sah!!!!! Pasti isteri saya dah “mental down”. Saya memutuskan untuk berhenti rehat untuk bagi Rif Zayn makan dulu dan bertenang.

Sedang kami berehat, ramai pendaki-pendaki lain memintas sambil memberikan kata-kata semangat. Ada yang kata, untung Rif Zayn ayah dia pikul ke puncak. Ada yang siap suruh saya pikul mereka naik ke atas. Ada pula yang kata saya gila, gigih pikul anak 8 bulan naik gunung 😂. Saya mampu gelak saja. Apabila terfikir balik, kesian juga isteri dan anak. Lagi-lagi bila anak menangis nak menyusu, dahlah anak masih menyusu badan.

Roy Peak Wanaka New Zealand Fantastic View

Tidak banyak pokok-pokok yang tumbuh disepanjang trek ke Roy Peak dan para pendaki terdedah secara terus kepada sinaran matahari. Kulit muka Rif Zayn mula nampak kemerah-merahan, isteri pula semakin kerap nak batalkan pendakian dan ingin berpatah balik. Puas juga saya pujuk untuk teruskan perjalanan. Apa tidaknya, orang yang pintas kami tadi siap dah berpatah balik nak turun. Tapi apa yang menaikkan semangat kami bila mereka kata tempat “viewpoint” tidak jauh lagi, depan tu saja.

Roy Peak New Zealand Pemandangan di Viewpoint pertama.
Roy Peak New Zealand Pemandangan di viewpoint pun sudah cukup mengagumkan.
Roy Peak New Zealand Akhirnya dia mampu tersenyum

Kami gagahkan langkah dan akhirnya tiba di “viewpoint” pertama Roy Peak lebih kurang pukul 1 petang. Pemandangan di sini amat cantik. Pendaki dihadiahkan dengan pemandangan gunung-ganang yang tersergam indah serta kecantikan tasik Wanaka. Wajah si isteri yang keletihan akhirnya tersenyum dan tidak menyangka dia mampu melakukan semua ini. Dia juga menggesa saya untuk meneruskan pendakian ke puncak dan ingin menunggu saya di tempat “viewpoint” ini. Walaupun jarak antara puncak dan “viewpoint” ini tidaklah begitu jauh, tetapi trek yang curam serta badan yang penat mungkin melambatkan saya. Jika saya lambat sampai ke puncak, lambat juga anak dan isteri turun nanti. Maka terpaksa saya batalkan niat saya.

Roy Peak New Zealand Pemandangan dari sudut berbeza.
Tanda di Roy Peak New Zealand Tandas ada disediakan. Jangan risau.
Roy Peak New Zealand Gagal ke puncak walaupun hanya 30 minit

Saya sempat bertegur sapa dengan seorang pendaki dan dia berkongsi beberapa gambar semasa dia di puncak. Pemandangannya lebih padu berbanding tempat yang saya lihat sekarang. Mungkin tiada rezeki saya kali ini untuk menawan Roy Peak. Selepas selesai berehat dan menangkap gambar kami pun turun ke kaki gunung. Ya, penat memang penat, sakit memang sakit, tapi kesakitan itu sementara, kepuasan yang dapat itu kekal selamanya.

-razinruslan-

Advertisements