Backpacking ke Shirakawa go
2014 Salji turun dengan lebatnya ketika di Shirakawa-Go.

Berlalu sudah tahun 2018 dan bermulanya tahun baru 2019. Tahun yang saya tidak pasti lagi akan kesudahan dan cabaran yang bakal dilalui. Bagi saya, 2018 adalah tahun yang baik dan saya harap tahun ini dapat menjadi lebih baik.

Sedar tak sedar, sudah masuk tahun ke-4 saya menulis di blog ini walaupun tidaklah begitu konsisten. Agak mengejutkan juga pengunjung yang datang melihat kandungan blog ini mencecah 8 ribu pada tahun 2018. Walaupun tidaklah sehebat orang lain, tapi ini merupakan satu perkembangan yang positif dimana saya dapat melihat kenaikan pengunjung sebanyak dua kali ganda dari tahun sebelumnya. Jika saya bandingkan diri saya dengan yang lain, pastilah saya jauh dibelakang. Jika saya bandingkan dengan yang lalu, oh sebenarnya saya sudah melangkah kehadapan sebenarnya. Tidak banyak, tapi yang penting saya makin kehadapan.

2015. Berkemah di Pulau Manukan.

Masih banyak cerita kembara saya yang tergantung gara-gara sibuk perihal kerja dan perkara-perkara lain. Kadang-kadang saya cuba untuk menulis, tapi banyak cerita tergantung di tengah jalan. Saya harap penulisan saya setakat ini dapat memberi nilai dan membantu pembaca, mungkin tidak banyak, sedikit pun cukuplah. Saya terdetik untuk menulis pun kerana ditegur rakan kerja sewaktu saya latihan industri dahulu.

“Razin, dari kau simpan sendiri cerita travel kau. Baik kau tulis kat mana-mana. Boleh orang baca”

Gunung Kinabalu
Geng #HipsterGunung tawan Kinabalu.

Jadi saya pun menulis dengan niat supaya boleh anak saya baca kalau esok-esok saya dah tiada disamping dapat membantu orang lain. Pada mulanya malu juga nak menulis ni, tapi seperti tagline NIKE “Just Do It”. Melihat kembali penulisan saya yang lepas, saya sangat bersyukur kerana banyak pengalaman hidup yang menarik saya lalui. Setiap kali ketika menulis pasti teringatkan kembali memori lama. Sangat seronok sebenarnya bila dapat berkongsi pengalaman sendiri dengan orang. Ya, tidak semua saya ceritakan disini tapi keseronokan itu dapat saya rasakan. Saya harap tahun 2019 lebih banyak perkara menarik saya lalui, lebih banyak tempat saya jelajah, lebih baik dari tahun sebelumnya dan lebih banyak impian saya dan keluarga tercapai.

suasana di pasar filipina sabah
Boy with his car.

Kitalah kelasi yang mengemudi kapal pelayaran hidup kita, kadangkala dibadai ombak, kadangkala lautan tenang menggembirakan, kadangkala layar koyak terdampar ditengah lautan. Perjalanan hidup kita berbeza, kita diuji dengan ujian berbeza, impian kita berbeza tapi matlamat pengakhiran kita sama disana nanti. Moga 2019 membuatkan kita maju, bertambah baik dan semakin baik.

– razinruslan-

Backpack ke Sokcho Korea
2016 Sokcho, Korea.
Advertisements