13 hari 12 malam new zealand
Pelan Perjalanan hari ke-2
Ruang rehat Jucy Snooze
 Ruang rehat di Jucy Snooze Christchurch. Cantik dan selesa. 

– 2 September 2018 – 

Hari ini merupakan hari yang agak padat bagi saya. Ini kerana saya perlu mengambil “Campervan”, membeli bahan masakan serta bergerak ke Hokitika. Untuk pengembaraan hampir dua minggu di bumi New Zealand ini, saya telah menempah “campervan” melalui www.Britz.co.nz. Sebelum itu, saya ada menempah “campervan” dengan www.Jucy.co.nz, tetapi malangnya “campervan” yang telah saya pilih itu tidak boleh dipasangkan dengan “baby seat”. Untuk pengetahuan, kanak-kanak dan bayi diwajibkan menggunakan “baby seat” di New Zealand. Oleh sebab itu, saya terpaksa membatalkan tempahan saya dengan Jucy dan memilih Britz. Mujur pihak Jucy tidak mengenakan sebarang caj pada saya.

Harga campervan di New Zealand
Caj yang dikenakan sepanjang saya menyewa campervan melalui Britz

Pihak Britz ada menyediakan servis pengambilan pelanggan di “airport” secara percuma dan pelanggan akan dibawa ke pejabat Britz untuk urusan pengambilan “campervan” yang telah ditempah. Jadi awal pagi lagi saya telah ke sana untuk menunggu mereka. Sebelum saya dibenarkan mengambil “campervan”, beberapa borang perlu diisi dan saya diberikan penerangan ringkas tentang cara penggunaan “campervan” tersebut. Selain itu, saya juga dilarang untuk memandu di “Crown Range Road” atas faktor keselamatan. Keseluruhan kos untuk “campervan” sahaja NZD 1150 (sewa serta insuran)  + NZD 250 (Britz Express Return Package) bersamaan dengan RM 4000. Harga untuk insuran memang agak mahal, tapi ia akan memudahkan saya jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Britz Express Return Package pula memudahkan saya ketika ingin memulangkan “campervan” kerana harga “road user charge” telah dimasukkan sekali di dalam ini.  Pada pandangan saya Britz Express Return Package ini berbaloi jika jumlah perjalanan anda melebihi 1500+ KM. Setiap Britz “campervan” juga dipasangkan dengan GPS, ia amat membantu sepanjang perjalanan di sini. 

Harga Campervan di New Zealand
Kandungan pakej Express Return Pack. Bila habis “trip” terus pulangkan pada Britz tanpa isi gas, LPG dan kosongkan air tangki kotor. 

Kemudian, saya bergerak ke Pasaraya Countdown dan juga Pak’nSave untuk membeli bahan-bahan masakan serta barang yang diperlukan. Bagi saya, barang-barang di sini lebih kurang sahaja harganya jika tidak ditukarkan pada ringgit. Cuma yang saya rasa agak mahal adalah pampers untuk anak saya. Di Malaysia, RM 50 boleh dapat pampers dengan kuantiti yang banyak manakala di sini, NZD 30-40 kuantiti pampers-nya agak kurang . Menyesal juga tidak bawa lebih dari Malaysia. Di sini, ayam yang saya beli hanyalah dari jenama Brinks dan Tegel sahaja kerana rata-rata dari pembacaan saya, kedua jenama ini adalah halal. Kita sebagai pengguna juga haruslah sentiasa membuat sedikit pembacaan dari masa ke semasa untuk mengelakkan sebarang keraguan dan kekeliruan. Boleh rujuk di https://www.tegel.co.nz/contact-us/ dan https://brinks.co.nz/faqs.

Naik campervan di new zealand
Campervan yang digunakan semasa di New Zealand. Ia boleh memuatkan seramai 4 orang dewasa. Sengaja saya memilih campervan kerana ingin merasai pengalaman yang berbeza.
Baby Seat wajib dipakai di New Zealand
Rif Zayn dengan baby seat-nya. 

Beberapa kali saya di-hon semasa memandu di dalam bandar kerana agak kekok memandu kenderaan yang besar dan berat ini. Lebih kurang pukul 12 tengah hari,  saya mula meninggalkan bandar Christchurch dan menuju ke tempat persinggahan pertama kami iaitu Castle Hill. Selepas meninggalkan bandar, jalan agak lengang. Had pemanduan pula hanyalah 100 km/h sahaja, kiri kanan ditemani dengan pemandangan gunung-ganang serta lembu dan kambing.

Backpack di New Zealand
Berhenti seketika melihat pemandangan yang cantik dan menenangkan.
Pemandangan di Caste Hill New Zealand
antara pemandangan di Castle Hill
Pemandangan di Castle Hill New Zealand
Bersama anak kesayangan.

Castle Hill merupakan kawasan lapang yang dipenuhi dengan berbagai bentuk formasi batu-batuan. Pemandangan yang cantik tapi malang sekali saya tidak dapat singgah lama disini kerana faktor masa dan cuaca. Lebih kurang setengah jam pemanduan saya sampai di Lake Pearson dan  berehat sebentar. Kemudian saya melalui Arthus’s Pass dan singgah di Otira Viaduct Lookout. Hujan turun makin lebat dan kabus memenuhi pandangan. Rasa agak kesal kerana saya mungkin terlepas banyak pemandangan yang cantik semasa di Arthus’s Pass. Saya meneruskan perjalanan menuju ke tapak perkhemahan kami di Cloud 9 Lifestyle Park dan bermalam di sini. Harga yang dikenakan untuk 1 malam adalah NZD 37 sahaja. Kemudahan dapur masak, sambungan elektrik untuk “campervan”, mesin basuh(NZD 4) dan pengering(NZD 4) ada disediakan di sini. 

Pemandangan di Castle Hill New Zealand
Pemandangan di Castle Hill New Zealand
Pemandangan di Lake Pearson New Zealand
Berehat sebentar di Lake Pearson
Berehat sambil ditemani itik-itik.
Otira Viaduct Arthur Pass
Kabus yang  menutupi pemandangan semasa di Otira Viaduct Lookout
Katil yang siap dipasang didalam “Campervan”. 
Advertisements