– 06 September 2017 – 

Daisetsuzan National Park
Tempat “parking” percuma di Daisetsuzan National Park

Pada pengembaraan saya di Hokkaido tempoh hari, saya sempat melawat Taman Negara Daisetsuzan (Daisetsuzan National Park) yang terletak di Higashikawa. Taman Negara Daisetsuzan merupakan taman negara yang terbesar di Hokkaido. Perjalanan untuk ke sini dari bandar Sapporo mengambil masa lebih kurang 4 ke 5 Jam dengan menaiki kereta. Oleh kerana tempat-tempat yang menarik di Sapporo berada agak jauh antara satu sama lain, saya sarankan adalah lebih baik menyewa kereta bagi memudahkan perjalanan. Boleh rujuk cara sewa kereta di Hokkaido di sini. Bagi mereka yang membawa kereta, terdapat “parking” kereta percuma disediakan serta terdapat juga “parking” yang berbayar. Jadi, anda pilihlah mengikut kesesuaian atau bajet anda.

Tujuan utama saya ke Taman Negara Daisetsuzan (Daisetsuzan National Park) adalah untuk menawan Gunung Asahidake dan melihat kecantikan musim luruh. Berdasarkan pembacaan saya, kawasa Taman Negara Daisetsuzan antara tempat terawal yang akan mengalami peralihan musim. Walaupun sudah beberapa hari berada di Sapporo, saya masih lagi tidak dihidangkan dengan pemandangan musim luruh yang sering dilihat di dalam internet. Malangnya yang kelihatan hanyalah beberapa pohon yang bertukar kemerah-merahan.

Daisetsuzan National park
Pemandangan Gunung Asahidake yang dapat dilihat dari Stesen Sugatami

Apabila anda tiba di kaki gunung, terdapat dua pilihan untuk anda ke puncak Asahidake :

1. Mendaki dari kaki gunung ke Stesen Sugatami dan meneruskan pendakian ke Puncak Gunung Asahidake.

2. Menaiki gondola dari kaki gunung ke Stesen Sugatami dan meneruskan pendakian ke Puncak Gunung Asahidake.

Cable Car Asahidake
Menaiki Gondola dari kaki gunung ke Stesen Sugatami

Oleh kerana kekangan masa dan juga membawa isteri yang sarat mengandung, jalan yang paling mudah untuk kami adalah dengan menaiki gondola ke Stesen Sugatami untuk menjimatkan masa. Masa yang diambil untuk sampai ke Stesen Sugatami dari kaki gunung lebih kurang 10 minit.

Harga tiket untuk gondola adalah seperti berikut :

Asahidake Ropeway Ticket Price
Harga tiket gondola. (Sumber dari : asahidake.hokkaido.jp)

Anda juga boleh merujuk di laman web (http://asahidake.hokkaido.jp/en/) untuk mengetahui lebih lanjut tentang suhu, keadaan, harga dan lain-lain info mengenai Gunung Asahidake.

Menawan puncak asahidake
Membuat pendaftaran sebelum menuju ke puncak.

Setelah tibanya di Stesen Sugatami, saya melakukan pendaftaran dan meneruskan pendakian solo ke Puncak Gunung Asahidake. Adik dan isteri pula saya biarkan mereka melakukan aktiviti bebas dan berehat di Stesen Sugatami. Saya dinasihati oleh malim gunung yang bertugas supaya berhati-hati semasa pendakian kerana keadaan cuaca di puncak boleh berubah secara tiba-tiba. Di Stesen Sugatami, terdapat ruang berehat serta beberapa tempat pemerhatian untuk para pelancong berjalan dan melihat keindahan Gunung Asahidake.

Sugatami Oberservation Point
Peta yang menunjukkan laluan untuk ke “observation point” di Stesen Sugatami.(Sumber dari : asahidake.hokkaido.jp)
Daisetsuzan National Park
Bergambar bersama isteri di salah satu tempat pemerhatian di Stesen Sugatami
Asahidake Mountain
Sugatami Pond
Sugatami Station
Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh sekitar gunung.
Asahidake Mountain
Daun-daun yang sudah bertukar warna.
Gunung Asahidake
Memulakan Pendakian

Sewaktu awal pendakian, saya agak risau kerana sebelum ini saya selalu melakukan aktiviti pendakian bersama rakan-rakan. Ini merupakan kali pertama saya membuat pendakian solo tanpa persediaan yang rapi. Berbekalkan hanya sebotol 500 ml air “sparkling” yang saya tersilap beli, sebungkus roti, dan juga kelengkapan kamera saya gagahkan diri untuk sampai ke puncak. Untuk pengetahuan, Taman Negara Daisetsuzan juga merupakan habitat beruang. Saya hanya menyedari tentang ini apabila membuat sedikit pembacaan pada malam sebelum pendakian. Antara cara yang disarankan untuk mengelak dari diserang beruang adalah dengan memakai loceng ataupun bahasa inggerisnya “Bear Bell”. Saya tidak pasti kesahihan informasi ini, tetapi sewaktu pendakian kelihatan beberapa pendaki yang memakai “Bear Bell” ini sepanjang pendakian mereka.

Asahidake Mountain View
Berehat sambil melihat pemandangan yang memukau
Laluan ke Puncak Gunung Asahidake
Laluan ke Puncak Gunung Asahidake

Laluan menuju ke puncak pada awalnya berbatu dan berbau sulfur. Apabila semakin tinggi pendakian, permukaan tanah adalah lebih halus. Terdapat penanda di sepanjang laluan ke puncak bagi memudahkan pendaki. Masa yang diambil untuk saya sampai ke puncak Asahidake lebih kurang 2 jam 30 minit dengan beberapa kali berhenti untuk berehat. Cuaca yang agak sejuk menganggu pernafasan ditambah lagi dengan angin yang kuat menyukarkan pendakian.

Puncak Gunung Asahidake
Pendaki Solo
Asahidake Mountain, Daisetsuzan National Park
Laluan ke puncak gunung
Asahidake Mountain View
Sugatami Pond dan juga Stesen Sugatami kelihatan dari Puncak Gunung Asahidake

Semasa di puncak saya bertemu dengan beberapa pendaki warga Jepun. Mereka sempat menyapa saya dengan beberapa ayat kepada saya yang saya rasakan adalah ucapan tahniah. Hanya senyuman mampu di balas.  Selesai berehat dan bergambar, saya meneruskan perjalanan pulang ke Stesen Sugatami. Untuk pengetahuan, jika anda mempunyai masa yang panjang dan stamina yang mencukupi, anda boleh meneruskan perjalanan menuju ke Puncak Gunung Kurodake. Berdasarkan pembacaan saya, dijangka masa yang diambil adalah selama 6 atau 7 hari. Pada asalnya, saya juga ada bercadang untuk mendaki Gunung Kurodake, tapi akibat kekangan masa, saya terpaksa membatalkan hasrat saya.

Bergambar di Puncak Asahidake
Mountain Asahidake
Pemandangan di Puncak Asahidake
Mountain Asahidake
Pemandangan di Puncak Gunung
Gunung Asahidake
Perjalanan pulang ke Stesen Sugatami

-RazinRuslan-

Advertisements