memandu di jepun
Pemandangan sekitar Chitose Airport

Pada pengembaraan saya ke Sapporo pada bulan September yang lalu, saya memilih untuk menggunakan kereta sebagai pengangkutan utama. Ini kerana, jarak antara tempat yang hendak dilawati sukar diakses dengan pengangkutan awam dan agak jauh. Pengangkutan awam di Sapporo juga saya rasa tidaklah sehebat seperti Kyoto atau Nagoya yang pernah saya lawati dulu.

Memandangkan saya bergerak bersama adik dan isteri saya yang sedang mengandung jadi penggunaan kereta amatlah sesuai. Saya juga ada mengira kos-kos penggunaan pengangkutan awam, saya dapati penjimatan yang ketara jika menyewa kereta.

Sebelum bergerak ke Sapporo anda boleh membuat beberapa persiapan seperti berikut :

  1. Menempah Kereta.
Laman Web Toyota Rent A Car

Seeloknya anda tempahlah kereta yang anda ingini lebih awal. Ini kerana, semasa saya di sana ada pengembara yang baru hendak membuat tempahan, tetapi malangnya beberapa tempat yang mereka pergi telah kehabisan kereta. Perkara ini akan mengganggu percutian anda nanti. Banyak agensi yang menawarkan servis menyewa kereta ni, tapi saya lebih percaya dengan servis dari syarikat Toyota dan Nissan. Laman web yang boleh anda gunakan untuk menempah kereta adalah seperti berikut :

  1. Toyota Rent A Car
  2. Nissan Rent A Car

Saya memilih untuk menempah kereta sewa saya menerusi laman web Toyota Rent A Car kerana “interface” web itu sendiri yang mudah difahami dan mesra pengguna.

memandu di jepun
Kereta bertuah yang menjadi pilihan kami

Pemilihan lokasi pengambilan kereta sewa juga penting. Pilihlah berdekatan dengan tempat tinggal anda atau di Stesen Keretapi Utama(Sapporo Station) ataupun di Lapangan Terbang Chitose supaya mudah untuk anda meminjam dan memulangkan kereta tersebut. Setelah selesai mengisi borang secara “online”, anda akan menerima email berserta nombor tempahan. Hanya perlu kemukakan nombor tersebut ketika hendak mengambil kereta nanti. Jumlah caj yang dikenakan adalah seperti berikut :

a. Kereta Sewa(6 Hari) = 40500 Yen

b. Exclusion of Liability Compensation Fee = 6480 Yen (ada pilihan untuk beli atau tidak)

c. Double Protection Package Fee = 3240 Yen (ada pilihan untuk beli atau tidak)

d. Hokkaido Expressway Pass(6 Hari) = 7200 Yen

e. Sewa Kad ETC = 324 Yen

Jumlah = 57744 Yen = 2183 MYR

Saya memang sengaja membeli insuran untuk mengelakkan dikenakan sebarang caj atau penalti jika terbabit dengan perkara yang tidak diingini.

  1. Permit Memandu Antarabangsa.
International Driving Permit
Permit Memandu Antarabangsa

Untuk memandu di Jepun, Permit Memandu Antarabangsa diperlukan. Saya tidak pasti samada lesen memandu negara kita diterima atau tidak di sana(Jika ada pembaca yang pernah menggunakan lesen memandu yang asal sila berkongsi dengan saya). Permit memandu antarabangsa ini hendaklah dikemukakan ketika pengambilan kereta sewa nanti. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Permit memandu antarabangsa boleh rujuk artikel yang saya tulis ini.

  1. Hokkaido Expressway Pass
Hokkaido Expressway Pass
Hokkaido Expressway Pass. Sila rujuk laman web di bawah.

Hokkaido Expressway Pass (HEP) adalah produk yang hanya ditawarkan kepada pelancong. Keistimewaan HEP ini adalah anda boleh menggunakan “Hokkaido Expressway” sebanyak manapun yang anda mahukan dengan sekali bayaran. Tetapi untuk menggunakan HEP anda perlu menyewa bersama dengan Kad ETC yang berharga 324 Yen. ETC bermaksud Electronic Toll Collection. Ia seakan-akan sistem “SMART TAG” yang digunakan di tol-tol negara kita.

Saya rasakan Hokkaido Expressway Pass banyak membantu menjimatkan masa perjalanan saya serta kos tol. Tanpa HEP, kos tol yang saya perlu bayar dari Sapporo ke Asahidake lebih kurang 7000 Yen untuk dua hala. Ini baru sahaja untuk ke Asahidake, kalau hendak bergerak ke tempat-tempat lain yang lebih jauh, jumlah kos tol akan lebih tinggi. Jika anda rasakan anda akan kerap menggunakan “Hokkaido Expressway” eloklah pertimbangkan untuk mengambil HEP, tetapi jika anda ingin mengelak tol dan menggunakan jalan lama, pilihan terletak di tangan anda. Untuk menempah HEP, anda boleh terus email kepada syarikat kereta sewa yang anda gunakan. Untuk maklumat lanjut boleh rujuk laman web ini :

1) http://www.toyotarentacar.net/english/guide/option/hep/

2) http://www.driveplaza.com/trip/drawari/hokkaido_expass/en.html

  1. Baca serba sedikit tentang peraturan dan cara pemanduan di Jepun.

memandu di jepun

Cara pemanduan di Jepun lebih kurang sama di Malaysia. Jadi saya rasa tidak menjadi masalah untuk pemandu negara kita untuk memandu di sana. Cuma dari segi had kelajuan mungkin berbeza. Had laju di Jepun lebih rendah daripada Malaysia. Had laju di jalan-jalan bandar adalah sekitar 40-60 km/h manakala di lebuhraya adalah 80km/h. Tapi jangan terkejut bila anda memandu disana nanti, majoriti pemandu Jepun akan bawa lebih dari had laju yang ditetapkan. 😀 Selain itu, ketika mengambil selekoh di kawasan-kawasan bandar, diingatkan lebih berhati-hati dan memberikan ruang pada pejalan kaki untuk melintas terlebih dahulu.

5. Ambil tahu tentang parking.

parking di jepun
Parking percuma yang disediakan di Cape Kamui

Selalunya anda dikehendaki untuk membayar caj parking di kawasan-kawasan bandar. Manakala untuk tempat-tempat jauh dari bandar parking selalunya adalah percuma. Setiap tempat parking mempunyai kadar caj yang berbeza-beza, ada yang mengenakan 300 Yen untuk 60 minit dan ada juga caj sebanyak 800 Yen 60 minit. Terdapat juga pelbagai jenis parking yang disediakan, antara parking kereta yang popular adalah seperti video di bawah. Dari segi penggunaan, anda hanya perlu parking kereta anda di kotak yang disediakan. Kemudian penghadang yang terletak di parking tersebut akan naik dengan sendirinya. Untuk menurunkan penghadang tersebut, anda perlulah membuat bayaran di mesin yang disediakan. Boleh ikut arahan seperti video yang telah dibuat oleh Bruce Schofield :

Kedai-kedai runcit seperti 7-Eleven, SeicoMart, Lawson dan juga Family Mart ada menyediakan tempat parking percuma untuk pelanggan mereka. Tetapi kita sebagai pengguna janganlah menyalahgunakan parking ini semata-mata untuk berjimat. Mungkin ada yang tertanya-tanya dimana saya parking selama di Sapporo. Hos AirBnB saya ada menyediakan tempat parking kereta, jadi tiada isu parking bagi saya kecuali semasa ke kawasan bandar.

    6. Harga Minyak.

harga minyak di jepun
Resit Isi Minyak

Dari apa yang saya perhatikan dan baca, harga minyak di Jepun berbeza-beza mengikut setiap stesen.  Kebanyakkan stesen menyediakan pelayan yang akan membantu untuk mengisi minyak kenderaan anda tetapi servis caj akan dikenakan. Jumlah kos minyak sepanjang 6 hari di Sapporo lebih kurang RM 400 ringgit. Untuk pengetahuan, kereta yang diberikan kepada anda adalah dalam keadaan minyak penuh. Oleh itu, anda hendaklah memastikan minyak penuh ketika hendak memulangkan kereta tersebut. Ketika saya di Sapporo anggaran harga minyak adalah 120.4 Yen untuk 1 liter.

-razin-

Advertisements