Siem Reap Ke Poipet
Menaiki Bas dari Siem Reap Ke Poipet sebelum menaiki keretapi ke Bangkok.

– 19 September 2015 – 

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Kemboja. Seawal 6:30 pagi kami bersiap dan berkemas untuk menunggu bas. Jadi semasa menunggu bas tu, kami sempat singgah di kedai runcit sebelah untuk membeli poskad dan setem. Tak hantar kat siapa pun, hantar pada diri sendiri saja. Tapi harga poskad di sini antara paling mahal aku beli iaitu berharga 2 USD sekali dengan setem. Poskad diletakkan di dalam peti surat setelah selesai menulis kata-kata semangat buat diri sendiri. Aku harap poskad ini sampai la, sebab ada beberapa keping poskad aku kirimkan dari negara lain tak sampai, agak menghampakan.

Penduduk memberi makanan dan derma kepada sami-sami
Penduduk memberi makanan dan derma kepada sami-sami

Tepat 7:30 pagi van mini tiba dan mengambil kami serta penumpang lain, kemudian kami dipindahkan ke lokasi bas yang bakal membawa kami ke sempadan Kemboja dan Thailand iaitu Poipet. Aku dan Nuar perlu merentasi sempadan kemboja thailand secepat mungkin untuk ke Stesen Kereta api Aranyaprathet. Kalau kami gagal sampai ke Stesen Aranyaprathet sebelum pukul 1:55 petang waktu Thailand kami terpaksa naik kereta api pada keesokan harinya. 8:15 pagi bas bergerak ke Poipet, hasil pembacaan mengatakan yang perjalanan mengambil masa hanya 2 jam. Tapi bas akan berhenti beberapa kali, menyebabkan masa perjalanan bertambah kepada 3 jam. Aku teringat satu babak ketika perjalanan , di mana seekor penyengat sesat masuk ke dalam bas. Geng-geng mat saleh dan korea ni terus tak boleh duduk diam. Huru-hara jadinya keadaan dalam bas ni, aku pun takut-takut la juga, tapi tengok gelagat diorang ni buat aku nak gelak je. Nasib la sampai satu tahap tu, mat saleh seorang ni dapat buang keluar penyengat tu. Bersorak satu bas woiiii hahaha.

Lebih kurang pukul 11:30 pagi, kami sampai di Poipet. Poipet merupakan titik sempadan antara Kemboja dan Thailand dan merupakan pusat perjudian yang terkenal. Proses mengecop pasport berjalan lancar. Aku dan Nuar bergegas merentasi sempadan sambil melihat pusat-pusat perjudian tersergam indah di bahu-bahu jalan. Aku sedikit gusar, kerana kebanyakan blog-blog mengatakan kawasan ini antara tempat “scam” yang tinggi. Tapi syukur tiada apa yang terjadi.

 Di Aranyaprathet, kami bergegas mencari tuk-tuk untuk ke stesen kereta api Aranyaprathet. Kebanyakkan tuk-tuk menawarkan kami 80 Baht untuk 2 orang. Kami cuba runding harga, tapi mereka berkeras tak nak. Tiba-tiba seorang pak cik motorsikal menyapa aku, ‘lorry..lorry’ sambil menunjuk ke satu arah. Aku tidak faham hanya mengangguk dan menuju ke arah yang dikatakan. Tapi aku buntu, lori apa pula pak cik ni cakap. Sedang dalam kebuntuan, pak cik ni datang ke arah aku sambil menunjukkan lori yang perlu dinaiki.

“This lorry? Aranyaprathet Train Station?”

tanya aku pada pak cik tu. 

“Yes Yes Yes” 

Lori yang kami naiki untuk ke Stesen Keretapi Aranyaprathet
Lori yang kami naiki untuk ke Stesen Keretapi Aranyaprathet. Masa kami diturunkan di depan stesen keretapi.

Aku mengucapkan terima kasih dan dia berlalu. Untuk menambahkan keyakinan, aku bertanya lagi pada seorang nenek yang berada dalam lori tu. Dia mengangguk, aku fikir kalau silap ni memang tak sempat aku nak kejar keretapi nanti. Harga yang dikenakan untuk naik lori ni adalah 15 Baht sahaja. Jauh lebih murah dari naik tuk-tuk tadi. Cuma lori ni tak akan terus jalan, dia akan tunggu penumpang hampir penuh baru la dia akan gerak. 20 -30 minit kemudian kami tiba di Stesen Keretapi Aranyaprathet. Lori ni turunkan kami betul-betul dihadapan stesen keretapi ni.

Stesen Keretapi Aranyaprathet
Stesen Keretapi Aranyaprathet
Stesen Keretapi Aranyaprathet
Stesen Keretapi Aranyaprathet

Untuk maklumat, hanya terdapat 2 keretapi sehari dari Aranyaprathet ke Bangkok. Keretapi pertama pada pukul 6:40 pagi waktu Thailand dan keretapi terkakhir adalah pada pukul 1:55 petang waktu Thailand. Waktu kami sampai tu, penjaga kaunter dia tengah rehat makan tengah hari, tapi orang dah beratur panjang untuk membeli tiket. Harga tiket untuk tempat duduk kelas ketiga hanyalah 48 Baht. Tempoh perjalanan ke Bangkok di anggarkan selama 6-7 jam dan anda akan dihidangkan dengan pemandangan sawah padi dan pokok-pokok yang menghijau.

Tiket Keretapi Aranyaprathet
Tiket Keretapi dari Aranyaprathet ke Bangkok yang berharga 48 baht
Keretapi Aranyaphratet Ke Bangkok
Jadual Keretapi Dari Aranyaphratet Ke Bangkok

Boleh rujuk di website ni untuk maklumat lebh lanjut : http://www.railway.co.th/checktime/checktime.asp?lenguage=Eng

Keretapi dari Aranyaprathet ke Bangkok
Rupa dalam Keretapi dari Aranyaprathet ke Bangkok

Ketika perjalanan ni juga la aku berkenalan dengan seorang warga Jerman iaitu Mr. garret yang berumur 70 tahun. Mr. Garret minat pada sejarah dan dia memang sukakan suasana di Kemboja. Dia perlu keluar Kemboja kerana ada isu pada pasport dia. Banyak perkara yang kami bincangkan selama perjalanan ni, tentang negara, korupsi pemimpin, agama dan impian. Tapi malangnya perbualan kami yang rancak diganggu apabila tiba di satu stesen ni. Diganggu sebab ada orang mabuk naik dan duduk di sebelah kami. Dah satu hal pula nak layan dia. Pada mulanya tanya aku dari negara mana, aku boleh layan lagi. Bila dia mula salam dan nak berhimpit duduk kat kerusi aku, serabut jadinya dengan bau arak lagi. Siap tunjuk kad pengenalan dia lagi kata aku kawan dia..adoi.. lepas dia tidur rasa aman sikit hidup aku, baru boleh sambung sembang dengan Mr.Garret.

Mr.Nuar dan Mr.Garret
Mr.Nuar dan Mr.Garret

Mr.Garret ada tanya kami pergi tak tasik Tonle Sap, kami kata kami tak sempat ke tasik Tonle Sap kerana kekangan duit. Dia boleh jawab, pinjam la duit ibu ayah dulu, sebab bukan senang nak dapat peluang mengembara ni. Pemikiran “traveler” sejati ke apa Mr.Garret ni siap nak berhutang. hahaha. Ada satu nasihat yang dia beri pada kami sebelum dia meninggalkan kami:

Pemandangan ketika perjalanan ke Bangkok
Antara pemandangan yang cantik ketika perjalanan ke Bangkok.

“Bagus anak-anak muda seperti kamu ada banyak impian. Pastikan bila semakin meningkat tua nanti, kamu ada lebih banyak impian. Bila semua impian dah tercapai kamu boleh mati dengan gembira dan tenang. Hidup ini singkat, cubalah nikmati hidup ini sebaik mungkin. Semoga berjaya mengejar apa yang kamu impikan”

– Mr.Garret – 

img_9298

Stesen Kereta Api Bangkok (Hua Lamphong), j
Stesen Kereta Api Bangkok (Hua Lamphong)

Akhirnya kami tiba di stesen terkahir iaitu Stesen Kereta Api Bangkok (Hua Lamphong), jam menunjukkan 8 malam. Plan kami adalah untuk bermalam di Khao San Road. Untuk ke sini aku perlu menaiki bas No. 53 dari Hua Lamphong. Tapi masalahnya kami tak tahu mana nak ambil bas ke Khao San Road ni. Punya la tanya macam-macam orang. Rupanya perlu keluar dari pintu utama stesen dan ke kiri, tunggu depan KFC saja. Harga tiket adalah 6.5 Baht seorang, dan kami ingatkan awal-awal pada pemandu bas tu untuk turunkan di Khao San Road nanti. Kami tiada buat sebarang tempahan pun nak ke sini, jadi setelah pusing-pusing, aku dan Nuar bermalam di Chanasongkram. Di Chanasongkram kami duduk “dorm” sahaja dengan harga 180-200 Baht. Air sejuk dan air panas disediakan, jadi bolehlah makan megi dengan tenang.

 

Advertisements