IMG_1549

27 Ogos 2013, Hajat di hati nak buat aktiviti island hopping. Tapi malangnya semua servis bot dah habis ditempah. Jadi plan bertukar, kami bergerak ke Emerald Pool ( Sa Morakot dalam bahasa  Thai ). Untuk lebih adventure, kami sewa motor untuk bergerak ke Emerald Pool. Harga sewa moto adalah 150 Baht untuk sehari manakala minyak ketika ini 140-150 Baht untuk untuk full tank. Anda juga boleh menempah aktiviti ini dengan agensi yang menyediakan perkhidmatan ke sini, mungkin agak mahal sedikit. Banyak kedai menyediakan servis sewa motor di sekitar Ao Nang ni, tapi pasport anda bakal dicagarkan buat sementara waktu. Jadi bawalah secara berhemah dan berhati-hati ke destinasi diingini. Pelbagai jenis motorsikal yang boleh dipilih, dari skooter sampailah Kawasaki Ninja 250 bagi mereka yang lebih inginkan kelajuan.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Emerald Pool ni seingat aku berada di dalam daerah Khlong Thom, dan perjalanan memakan masa 1 Jam 30 Minit. Jarak antara Ao Nang Beach dan Emerald Pool ni lebih kurang 70 Kilometer. Sepanjang perjalanan dapat la aku lihat pemandangan sekitar. Pemandu-pemandu di Thai ni aku tengok amat suka menggunakan hon kenderaan diorang. Jangan terkejut kalo anda asyik kena hon je. Bila nak potong diorang hon, bila blok jalan diorang hon, tapi pemandu yang kena hon ni relaks je. Tak macam di Malaysia, kau hon orang confirm melenting. Dengan bantuan GPS, maka tibalah kami di Emerald Pool.

IMG_1459

Bayaran masuk untuk Emerald Pool ni adalah sebanyak 200 Baht bagi warga asing dan 20 Baht kalau tak silap untuk warga Thailand. Oleh kerana muka aku tak berapa nak Thai sangat, terpaksalah bayar 200 Baht. Sedang aku dengan yang lain sibuk-sibuk bayar, Faiz dan Boyen selamba ja masuk tak bayar, yang guard tu pun tak ada la sibuk suruh bayar ke apa, maka dengan ini penjimatan 400 Baht dapat dibuat. Aku rasa muka diorang iras-iras orang Thai, tu yang lepas tu. Anda perlu berjalan dalam beberapa ratus meter dari pintu utama untuk sampai ke Emeral Pool ni. Waktu paling sesuai nak pergi tempat ini adalah waktu tengah hari, sebab masa ni kau akan dapat tengok kecantikan sebenar kolam ni. Berhati-hati ketika nak masuk ke kolam ni sebab permukaan batunya yang licin.

P1110993
Tarikan lain yang terdapat dalam kawasan ni.

IMG_1551

Didalam kawasan ini juga terdapat 1 lagi kolam yang dipanggil Blue Pool. Malangnya ketika ini proses pengubah suaian sedang dijalankan, jadi Blue Pool ditutup buat sementara waktu. Boleh google untuk lihat imej dan mengapa ia dipanggil Blue Pool. Selesai mandi, kami singgah makan di kedai muslim yang terletak diluar pintu masuk utama. Melihat tuan kedai yang bertudung kami bertanya adakah makanan yang disediakan halal untuk kepastian. Seterusnya kami bergerak ke Hot Spring Waterfall yang berdekatan dengan Emerald Pool. Bayaran masuk dikenakan sebanyak 90 Baht seorang dan caj untuk satu motor sebanyak 5 Baht. Lebih kurang 45 minit kami berendam dalam air panas semulajadi ni, badan pun dah segar jadi bergeraklah pulang ke Ao Nang.

IMG_1481

Seperti biasa, kami hanya bergerak mengikut laluan yang telah ditetapkan GPS. Tapi hairan, jalan yang kami ikut kali ni tak sama dengan jalan kami datang tadi. Hati aku tetap yakin dan siapa lagi aku nak ikut kalau bukan GPS ni, jalan dekat sini bukan aku tahu pun. Sampai satu masa, jalan tar dah tak nampak, yang ada hanya jalan berbatu dan tanah merah ja manakala kawasan sekeliling penuh dengan pokok getah. Suasana sepi, rumah orang pun nampak la selang beberapa ratus meter 1 rumah. Kami berhenti sebentar dan berbincang samada mahu berpatah balik atau terus ikut GPS. “ikut je GPS” kata Faiz. Perjalanan di sambung hingga sampai satu tahap, line telefon tiada mungkin kerana kawasan kami lalu ni telalu dalam. Bukan line telefon je buat gila, telefon aku pun naik gila sekali. Apataknya, skrin telefon jadi macam skrin TV tahun 80-an bila tiada siaran tu. Dah la sesat, internet tiada, telefon buat hal. Masa tu juga, telefon aku ja paling reliable, telefon lain tak berapa nak perform. Kami tetap ikut ja jalan tanah merah dan berbatu ni, dan akhirnya jumpa juga jalan besar. Tapi masih tak tahu jalan yang betul.

Kebetulan jumpa kedai runcit tepi jalan, kami berhenti untuk bertenang dan berehat sekejap. Sambil-sambil tu aku cuba bertanya pada seorang pemandu tractor.

R: “Excuse me sir, can you show me direction to KRABI”

Muka pemandu ni panik terus, aku bukan nak makan dia, aku tanya jalan ja. Mungkin sebab tak faham la ni. Dengan bantuan isyarat tangan aku cuba memahamkan dia sambil mengulang perkataan “Krabi, Krabi, Krabi”. Lalu dia menunjukkan 1 arah dengan tangannya, dan berkata “kap, kap, kap” sambil menganggukkan kepala. Kap ni bukan pengakap, ikan siakap mahupun ikan kap, Kap ni maksud dia “Ya” dalam bahasa melayu. Dengan rasa yakin, kami ikut la arah yang dia tunjukkan. Lega bila jumpa jalan asal kami datang tadi, terima kasih abang tractor.

Sebenarnya kami nak kejar sunset hari ni di pantai Ao Nang, jadi bila dah jumpa jalan asal ni, throttle pulas dua kali la nak kejar masa hilang tadi. Akhirnya selamat sampai di Ao Nang dan nasib la sempat layan sunset.

IMG_1496

Advertisements